Wanita Solehah
Di Sebalik Tiga Perkara Keramat Buatmu Wanita Idaman
“Fatimah anakku, mahukah engkau menjadi
seorang perempuan yang baik budi dan isteri yang dicintai suami?” Tanya
si ayah Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.
“Tentu saja, wahai ayahku,” jawab Fatimah lembut.
“Tidak jauh dari rumah ini terdapat
seorang wanita yang baik budi pekertinya bernama Siti Muthi’ah. Temuilah
dia, teladani budi pekertinya yang baik itu.”
Gerangan amal apakah yang dilakukan oleh
Siti Muthi’ah sehingga Rasulullah s.a.w. sendiri pun memujinya sebagai
perempuan teladan? Maka bergegaslah Fatimah menuju ke rumah Muthi’ah
bersama puteranya Hasan yang masih kecil itu.
Begitu gembira sekali Muthi’ah apabila
mengetahui tetamunya ialah Puteri Nabi yang disanjunginya itu. “Sungguh
bahagia sekali aku menyambut kedatanganmu ini, Fatimah. Namun,
maafkanlah aku sahabatku. Suamiku telah beramanat, aku tidak boleh
menerima tamu lelaki di rumah ini.”
“Ini Hasan puteraku sendiri. Dia kan masih anak-anak.” kata Fatimah sambil tersenyum.
“Namun, sekali lagi maafkanlah aku, aku tidak ingin mengecewakan suamiku, Fatimah.”
Fatimah mulai merasakan keutamaan Siti
Muthi’ah dan menjadi semakin kagum serta berhasrat menyelami lebih dalam
lagi akhlak wanita ini. Lalu dihantarlah Hasan pulang dan bergegaslah
Fatimah kembali ke rumah Siti Muthi’ah.
“Aku jadi berdebar-debar,” Sambut Siti Muthi’ah. “Gerangan apakah membuatmu begitu ingin kerumahku, wahai puteri Nabi?”
“Memang benarlah Muthi’ah. Ada berita
gembira buatmu dan ayahku sendirilah yang menyuruhku kesini. Ayahku
mengatakan bahawa engkau adalah wanita berbudi pekerti yang sangat baik.
Kerana itulah aku kesini untuk meneladanimu, Wahai Muthi’ah.”
Siti Muthi’ah gembira mendengar
kata-kata Fatimah. Namun, Siti Muthi’ah masih ragu. “Engkau bergurau
sahabatku? Aku ini hanya wanita biasa yang tidak punya keistimewaan apa
pun seperti yang engkau lihat sendiri.”
“Aku tidak berbohong wahai Muthi’ah, ceritalah padaku agar aku bisa meneladaninya.”
Siti Muthi’ah terdiam, hening seketika.
Lalu tanpa sengaja Fatimah melihat sehelai kain kecil, kipas dan sebilah rotan di ruangan kecil itu. “Buat apa ke tiga benda itu Muthi’ah?” Tanya Fatimah.
Siti Muthi’ah tersenyum malu. Namun
setelah didesak, beliau pun bercerita. “Engkau tahu Fatimah, suamiku
seorang pekerja yang memeras keringat dari hari ke hari. Aku sangat
sayang dan hormat kepadanya. Ketika dia pulang, cepat-cepat aku sambut
kepulangannya. Ku buka bajunya, ku lapkan tubuhnya dengan kain kecil ini
sehingga kering keringatnya. Lalu dia pun berbaring di tempat tidur
melepaskan lelah. lalu aku kipasi beliau sehingga lelahnya itu hilang
dan tertidur lena.”
“Sungguh luar biasa pekertimu, Muthi’ah. Lalu untuk apa pula rotan ini?” soal Fatimah lagi.
Jawab Siti Muthi’ah. “Kemudian, aku
berpakaian semenarik mungkin untuknya. Setelah dia bangun dan mandi, ku
siapkan pula makan dan minum untuknya. Setelah semua selesai, aku
bertanya kepadanya, Oh kekanda, jika layananku sebagai isteri dan
masakanku tidak berkenan dihatimu, aku ikhlas menerima hukuman. Pukullah
badanku dengan rotan ini dan sebutlah kesalahanku agar tidak ku
ulangi.”
“Seringlah engkau dipukul olehnya, wahai Muthi’ah?” tanya Fatimah berdebar-debar.
“Tidak pernah, Fatimah, bukan rotan yang
diambilnya, tetapi akulah yang ditarik dan dipeluknya dengan penuh
kemesraan. Itulah kebahagiaan kami sehari-hari,” jawabya lembut.
“Jika demikian, sungguh luar biasa,
wahai Muthi’ah. Sungguh luar biasa! Benarlah kata ayahku, engkau
perempuan berbudi baik,” kata Fatimah yang amat kagum dengan budi
pekerti yang dimiliki oleh wanita berwajah tenang itu.
Terdapat beberapa hadis yang yang
menyatakan Kelebihan Wanita Solehah. Mudah mudahan dengan membaca dan
menghayati Hadis ini akan memberi kekuatan kepada kita untuk mengamalkan
Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Moga Allah memberi keberkatan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Maksudnya: Empat perkara siapa
dikurniakannya maka sesungguhnya dikurniakan kebaikan dunia akhirat,
lidah yang sentiasa berzikir, hati yang sentiasa bersyukur, sabar atas
segala ujian yang diberikan Allah dan isteri yang tidak mengkianati
suaminya sama ada pada maruah diri dan harta.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Baihaqi.
Mutiara Kata
“Empat perkara yang mendatangkan
kebahagiaan iaitu buku yang bermanfaat, anak yang soleh, isteri yang
disayangi dan teman bergaul yang Soleh. Allah memiliki ganti untuk semua
itu”.
Wallahu’alam….Oleh: Layyinul Hasnie – hasnulhadiahmad.com
